Tuesday, September 2, 2014

#2

“Untuk edisi yang pertama ini, tema #MERDEKA akan diketengahkan di mana anda dialu-alukan untuk menyumbang sebarang karya berbentuk cerita pendek atau …”

***

Eh, serious lah?

Apa lagi yang ada pada merdeka? Lima puluh tujuh sudah berlalu, tiada apa yang baru. Penjajah sudah tiada. Kita pun sudah terlepas. Tiada lagi sangkar penjara, memenjara minda dan jiwa merana. Kini kita bebas bersuara, bebas berkata, bebas sudah segala seumpamanya.

Apa lagi yang mahu dikisahkan? Merdeka itu dulu. Sekarang zaman baru. Tak perlu nak simpul celaru dengan kisah dulu-dulu. Kala itu tahun batu. Ada warna hitam putih dan juga kelabu. Sekarang aneka warna. Tak cukup merah, kuning tambah biru.

Sumpah! Apa lagi tersisa dari citra merdeka buat kita, ummat zaman tersedia? Walau tak tahu mestikah sentiasa berjaga?

Ya! Merdeka, merdeka, merdeka juga. Laungan terlaungkan dengan nada sekata. Merdekakah kita? Akan merdekakah selama?

Ku buka Wikipedia tanyakan perihal merdeka. Rupanya, asal “Merdeka”, Sanskrit Maharddhika. Yang bawa tiga makna; kaya, agung dan kuasa. Hm… aku langsung tertanya, “Kayakah kita? Agungkah kita? Ada kuasakah kita?”

Bila aku kata “kita” apa yang ada di kotak minda?

Ketahuilah!

Sesungguhnya aku sedang berkelakar tentang “kita”, ummat Islam di merata. Hey! Sempadan “kita” ialah akidah. Bukan seperti mereka hanyalah sempadan tanah.

Setiap pelusuk bumi yang ada muslim menyatakan "tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Allah" ia adalah bumi dan tanahair yang kita hormati, hargai, cintai dan kita serahkan keikhlasan serta jihad kita demi kebaikkannya.

Langsung aku persoalkan kembali, “Kayakah kita? Agungkah kita? Ada kuasakah kita? Merdekakah kita?”

Merdeka Malaysia, bukan merdeka yang segala! Kerna Merdeka ini hanya garis “MULA”. Merdeka ini hanya tahapan pertama. Sebelum nanti-nanti kita akan mengajak pula saudara-saudara kita untuk merdeka bersama-sama.

Merdeka kita bukan biasa-biasa. Merdeka kita bukan takat letusan bunga api dan bunyi meriam-meriam. Merdeka kita adalah lebih-lebih-lebih lagi. Merdeka kita umpama syurga sebelum syurga yang sebenarnya.

Merdeka kita adalah tidak menjadi hamba manusia. Merdeka kita adalah menjadi hamba kepada Allah semata-mata. Merdeka kita adalah keluar dari kesempitan dan kezaliman dunia. Merdeka kita adalah mendakap keluasan dan keadilan Islam yang mulia.

Malaysia sudah Merdeka. Pastikan mesti, kemudiannya giliran kita-kita.